Rabu, 18 Mac 2015

Permulaan hidup baru

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang


           Alhamdulillah, syukur ke Hadrat Ilahi, aku masih hidup di atas bumi ini dengan kasih dan rahmat dariNya. Maha Suci Tuhan Yang Agung. Setelah lebih 2 tahun meninggalkan blog ini atas sebab kesibukan sebagai pelajar yang tidak dapat dielakkan, dan Alhamdulillah, akhirnya Tuhan masih beri aku kesempatan untuk aku coretkan nukilan luahan hati aku sebagai hamba Allah yang sangat kerdil di bumi yang luas ini.

p/s: life is short, enjoy it, 

Gerbera *(^_^)V

Isnin, 12 November 2012

Gaun Merah 1



     Jarum pendek jam tangan menunjukkan hampir pukul 10 malam. Hujan di luar masih lagi renyai-renyai. Hadif menegakkan badan dan  menarik nafas dalam-dalam lalu menghembusnya bagai orang mengeluh.

"Huuhh...."

 Jari jemarinya laju menaip pada papan kekunci. Sesekali dia merenggangkan jari dan menyambung semula kerja.

"Ok, dah siap......".Bicaranya. Dia melepaskan nafas lega. Entah untuk kali keberapa, Hadif memandang jam di tangan kirinya.

" Ya Allah, dah 11:45 malam." Hadif terkejut.
Tiba-tiba dia teringat isterinya Melisa.

Tangannya laju mencapai telefon bimbit di dalam poket seluar.
Dua mesej daripada isterinya Melisa masih belum dibaca.

[5:00 pm] My Sayang : Assalamualaikum Abang, balik awal ye malam ni. Tonight is a special our night. =)

" Special?.." Hadif bingung.

 ' Hari ni berapa hari bulan ye..?" soalnya sendiri. Diam.

 Matanya memandang kelendar di sudut meja.

' Khamis, 4 November 2012..Oh... Tidak, hari ni hari ulang tahun perkahwinan aku dengan Melisa, Hadif... macam mana kau boleh lupa....!'. Hadif marah dengan dirinya sendiri. Mesej terakhir dari Melisa dibaca.

[10:00pm] My Sayang: Abang sibuk ye.. tak ape lah.. abang buat kerja baik-baik ok.. -miss u so much-

      Kelam kabut dia berkemas untuk pulang. Kesalnya masih belum hilang. Hari ini seharian dia terpaksa meletakkan telefonnya dalam mood senyap. Pagi tadi meeting dengan bos, tengah hari dengan pelanggan. Petang pula ada perbincangan dengan anak-anak buahnya di pajabat sehingga terlupa hendak tengok  handphone.


 
Pergerakan lalu lintas agak perlahan. Kelajuan keretanya terpaksa diperlahankan.
" Ish.. sesak pulak..." Hadif mula tertekan. Jika dia makin lewat pulang pasti dia makin rasa bersalah kepada isterinya.

' Maafkan abang sayang' . Bicara hati kecilnya.

         Hadif resah. Dia tahu isterinya pasti berkecil hati dengannya walaupun Melisa tidak menunjukkan kecewanya. Ya, Melisa tidak pernah marah dengannya, sepanjang perkahwinan mereka selama tiga tahun  ini, tidak pernah sekali Melisa menunjukkan rasa kecewanya dihadapan Hadif. Tapi itu tidak bermaksud dia harus membiarkan sahaja perasaan isterinya itu. Dia harus menjaga hati Melisa sepertimana Melisa menjaga hatinya.

      Hadif meneruskan pemanduannya, sebaik sahaja dia menghampiri simpang ke kawasan perumahannya, matanya tertarik ke arah seorang mak cik tua yang sedang duduk di tepi jalan. Disekelilingnya terdapat beberapa peti-peti kayu lama. Pada peti paling besar dan hadapan tertulis perkataan " UNTUK DIJUAL"

     Hadif berasa pelik, setahu Hadif belum pernah ada orang meniaga di kawasan perumahan tersebut. Apatah lagi pada waktu lewat malam seperti ini. Hatinya tertanya-tanya, apakah barang yang dijual mak cik tua itu.

 Tanpa berfikir panjang,Hadif memberhentikan kenderaannya betul-betul di depan mak cik tua itu. Dia turun dari kereta lalu menghampiri gerai mak cik tua itu yang betul-betul di bawah lampu neon.

  " Assalamualaikum mak cik, jual barang-barang apa ya?" Soalnya penuh sopan. Angin bertiup lembut membuatkan Hadif berasa agak sejuk.

" Waalaikumsalam nak," Balas wanita separuh abad itu sambil tersenyum. Wajahnya tampak tenang tanpa secalit make up pada wajahnya.

" Mari tengok sini nak, mak cik ada jual baju, mari tengok dulu , mana lah tahu ada yang berkenan, boleh beri pada orang rumah.." Sambungnya lagi sambil mak cik tua itu mengeluarkan beberapa helai baju kebaya dan baju kurung lalu di letakkan di atas peti di hadapan Hadif.

  Hadif membelek pakaian yang berada  dihadapannya satu persatu. Fikirnya mahu dibelikan satu  untuk Melisa sebagai menebus kesalahannya kepada isterinya.

' Cantik juga baju ni, tapi macam gaya lama je'. Monolognya.

"  Baju ni cantik juga, tapi ada yang lain tak mak cik? Saya nak hadiahkan untuk isteri saya" Pinta Hadif dengan harapan dapat melihat pakaian-pakain yang lain.

"Ouh, sudah beristerinya rupannya anak ini, kalau macam tu sebentar ya, mak cik mahu ambilkan satu baju yang istimewa." Mak cik tua itu bergerak ke arah belakang.Dia mengambil peti kayu yang paling belakang dan paling bawah lalu di letakkan peti itu dihadapan Hadif. Peti itu sepertinya peti lama, ukirannya di sekeling kotak itu sudah cukup untuk buat Hadif kagum.

" Ini baju istimewa, untuk wanita yang istimewa" Ujar mak cik tua itu sambil membuka peti lama itu.
" Tengoklah..." 

  
Hadif melutut di hadapan peti lama yang sudah dibuka penutupnya. Matanya terpegun tatkala melihat pakaian berwarna merah yang terlipat elok di dalamnya. Hadif mengambil pakaian itu lalu dibukanya sambil berdiri semula.

'Gaun merah rupanya'. Komen Hadif dalam hati.

" Cantiknya gaun ni mak cik" Hadif senyum.

 " Kalau Melisa yang pakai pasti lagi cantik" Tambahnya lagi. Mindanya membayangkan isterinya sedang memperagakan gaun merah itu. Seksi dan menggoda. Cantik. Hadif tersengih sendiri. "Hehehe.."

" Mak cik, saya mahu beli gaun merah ini. Berapa harganya?" Tanya Hadif penuh semangat sambil memasukkan semula gaun merah itu kedalam peti kayu lama itu.

" Harga kalau ikutkan, dua ratus ringgit, tapi memandangkan kamu pelanggan terakhir mak cik malam ni, Mak cik bagi kamu diskaun lima puluh percent, seratus sahaja nak" Ujar mak cik tua itu sambil tersenyum gembira.
Rezekinya sudah sampai.

" Seratus? boleh la.." Hadif mengeluarkan dompet dari poket seluarnya.

Wang kertas RM100 bertukar tangan.

 " Terima kasih nak, ambil gaun merah ini dengan peti lama ni sekali, satu set" Seloroh mak cik tua itu.

Hadif mengangkat peti lama itu lalu di letakkan di seat belakang keretanya. Belum sempat dia masuk ke dalam kereta mak cik tua itu berpesan.

" Nak, cuma satu pesan mak cik jangan beri siapa-siapa pakai gaun merah itu apabila tiap kali tiba  12 Disember ," pesan mak cik tua itu dengan senyuman yang penuh makna.

" Baiklah mak cik..." Hadif  hanya mengiyakan sahaja, malas mahu bertanya lebih-lebih, dia mahu pulang secepat yang mungkin. Rindu terhadap isterinya makin terasa.

Bersambung.....









Selasa, 17 April 2012

Benar awak sayangkan dia?...




Benar awak sayang akan dia?
Benar awak rindu akan dia?
Benar awak ingin bersamanya?
Benar dia yang awak selalu mimpikan?

 Wahai sang pencinta,
Cinta itu anugerah dan fitrah manusia,
Anugerah dan hadiah terindah daripada Pencipta kepada makhluk ciptaanNya,

Kerana Cinta kenal Pencipta,
Kerana Cinta kenal saudara,
Kerana Cinta wujudnya sayang,
Kerana Cinta lahirnya pengorbanan,
Dan kerana Cinta dua hati menjadi satu...

Tapi sayang sekali,
Sang Pencinta tidak tahu, 
Andai tersalah langkah cinta akan dipersiakan,

Wahai sang pencinta,
Cintailah yang berhak mendapatkan cintamu dahulu,
Sebelum kamu mencintai makhluknya,
Cintailah Yang menciptakan dan menganugerahkan cinta kepadamu,
Kerana hadirnya cinta itu adalah tanda cinta dan kasihNya kepadamu,

Wahai sang pencinta,
Yang mencintaimu juga pasti ada,
Kerana itu janjiNya,
Setiap makhluk ada pasangannya,
Maka jangan kamu runsing dan bersedih,
Cuma masa nya sahaja belum tiba,
Pasti si dia juga merinduimu...

Wahai sang pencinta,
Cinta itu adalah hadiah,
Kenapa lebih sayang hadiah daripada Pemberi hadiah?
Mungkin...
Kerana hadiah itu berharga bagi dirimu,
Benar, sayangilah hadiahmu itu wahai sang pencinta,
Tapi jangan kamu lupa bahawa hadiah itu cuma pinjaman sementara,
Untuk kamu bermesra dan bermanja,
Bila tiba masanya akan diambil semula oleh Pemberi hadiah...
Dan bertemu semula di Syurga sana..
InsyaAllah...


p/s: Gerbera sayang semua (^_^)*

















Sabtu, 5 November 2011

Perjalan hamba di bumi Allah Yang Esa...



Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang....

Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam,
Yang Maha Pengasih Maha Penyayang,
Pemilik hari pembalasan,
Hanya kepada Engkau kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan.
Tunjukkanlah kami jalan yang Lurus,
Jalan orang-orang yang telah Kau beri nikmat,bukan jalan mereka yang Kau murkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat...





          Bermulanya langkah pertamaku dengan izin Mu,
Bermulanya nafasku dengan rahmat Mu,
Bermulanya hidupku dengan kasih dan sayang Mu Ya Rahman Ya Rahim..

Perjalanan ini mungkin masih panjang dan aku sendiri tidak tahu dimana akhirnya.
Meski berpimpinan sesama manusia yang mencari sinar kejayaan kata mereka,
Namun  acap kali mereka mendustakan  apa yang sepatutnya menjadi  hak Mu dihadapanku,
Jangan Kau biarkan aku tertipu...
Ya Rabbi..
Pimpimlah diri ini.

Dalam perjalan hamba yang jahil ini,
Tangan aku ditarik kanan dan kiri,
Madah yang manis dari lidah yang lembut cuba mencengkam hati,
Adakah ini syaitan atau manusia?
Kenapa mereka sedemikian sedangkan perintahMu itu jelas?
Dan aku juga sering terlalai tatkala aku hati ini jauh dariMu,
Oh Tuhan, pimpinlah hati hamba Mu ini.

Kadangkala aku terfikir sendiri,
Apakah ini hukuman atas dosa lama?.
Atau dugaan bagi daie yang mulia..

Perjalan ini mungkin tidak seperit perjalanan Baginda,
  Kerana perjalan ini satu perjuangan, 
Perjuang dan ujian bagi hamba selemah aku,
Perjuang atas janjiku kepada Sang Pencipta,
Janji yang wajib untuk aku tunaikan
Kerana yang wajib ini adalah hak Mu,
Hak yang akan dipersoalkan.
Apabila aku tiba di destinasinya nanti.

Perjalan ini dibekalkan akal,
Perjalan ini diberbekalkan ilmu.
Perjalan ini dibekalkan iman,
Perjalan ini ditemani malaikat.
Perjalanan ini diekori syaitan,
Perjalanan ini diiringi nafsu,
Perjalanan ini sulit untuk diperkatakan,
Kerana dalam perjalan ini 
Aku mencari sesuatu,
Sesuatu yang bisa membawa aku kepada Mu..
 
Di bumi Allah yang luas ini,
Akan aku teruskan perjalanan ini,
Meski banyak duri yang tersembunyi,
Duri yang cuba menambat kaki.

 Dengan hati yang cekal,
Dengan niat yang ikhlas, 
Perjalan ini harus diteruskan,
Mencari sesuatu yang pasti,
Untuk digenggam sepenuh hati,
Sebagai bukti aku ini adalah hamba,
Yang patuh kepada Mu..

Ya Rabbi,
Permudahkanlah perjalanan ini,
Perjalan mencari iman dan takwa,
Kerana perjalanan ini untuk agama Mu.


Perjalanan hamba di bumi Allah Yang Esa...