Sabtu, 5 November 2011

Perjalan hamba di bumi Allah Yang Esa...



Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang....

Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam,
Yang Maha Pengasih Maha Penyayang,
Pemilik hari pembalasan,
Hanya kepada Engkau kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan.
Tunjukkanlah kami jalan yang Lurus,
Jalan orang-orang yang telah Kau beri nikmat,bukan jalan mereka yang Kau murkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat...





          Bermulanya langkah pertamaku dengan izin Mu,
Bermulanya nafasku dengan rahmat Mu,
Bermulanya hidupku dengan kasih dan sayang Mu Ya Rahman Ya Rahim..

Perjalanan ini mungkin masih panjang dan aku sendiri tidak tahu dimana akhirnya.
Meski berpimpinan sesama manusia yang mencari sinar kejayaan kata mereka,
Namun  acap kali mereka mendustakan  apa yang sepatutnya menjadi  hak Mu dihadapanku,
Jangan Kau biarkan aku tertipu...
Ya Rabbi..
Pimpimlah diri ini.

Dalam perjalan hamba yang jahil ini,
Tangan aku ditarik kanan dan kiri,
Madah yang manis dari lidah yang lembut cuba mencengkam hati,
Adakah ini syaitan atau manusia?
Kenapa mereka sedemikian sedangkan perintahMu itu jelas?
Dan aku juga sering terlalai tatkala aku hati ini jauh dariMu,
Oh Tuhan, pimpinlah hati hamba Mu ini.

Kadangkala aku terfikir sendiri,
Apakah ini hukuman atas dosa lama?.
Atau dugaan bagi daie yang mulia..

Perjalan ini mungkin tidak seperit perjalanan Baginda,
  Kerana perjalan ini satu perjuangan, 
Perjuang dan ujian bagi hamba selemah aku,
Perjuang atas janjiku kepada Sang Pencipta,
Janji yang wajib untuk aku tunaikan
Kerana yang wajib ini adalah hak Mu,
Hak yang akan dipersoalkan.
Apabila aku tiba di destinasinya nanti.

Perjalan ini dibekalkan akal,
Perjalan ini diberbekalkan ilmu.
Perjalan ini dibekalkan iman,
Perjalan ini ditemani malaikat.
Perjalanan ini diekori syaitan,
Perjalanan ini diiringi nafsu,
Perjalanan ini sulit untuk diperkatakan,
Kerana dalam perjalan ini 
Aku mencari sesuatu,
Sesuatu yang bisa membawa aku kepada Mu..
 
Di bumi Allah yang luas ini,
Akan aku teruskan perjalanan ini,
Meski banyak duri yang tersembunyi,
Duri yang cuba menambat kaki.

 Dengan hati yang cekal,
Dengan niat yang ikhlas, 
Perjalan ini harus diteruskan,
Mencari sesuatu yang pasti,
Untuk digenggam sepenuh hati,
Sebagai bukti aku ini adalah hamba,
Yang patuh kepada Mu..

Ya Rabbi,
Permudahkanlah perjalanan ini,
Perjalan mencari iman dan takwa,
Kerana perjalanan ini untuk agama Mu.


Perjalanan hamba di bumi Allah Yang Esa...



Sabtu, 22 Oktober 2011

Surat untuk bakal suami daripada bakal isteri...

 Dengan Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...


Surat untuk bakal suami daripada bakal isteri..

Assalamualaikum my dear future husband…

        Kehadapan  awak  yang saya sayang, terima kasih sebab sudi luangkan masa  baca surat ni walaupun saya fikir mungkin awak sangat sibuk sekarang ini. Awak dan keluarga apa khabar? Saya harap awak dan keluarga sihat selalu. Macam mana hidup awak sekarang?Saya harap semuanya baik  dan semoga Allah permudahkan segala urusan hidup awak .

   Awak, saya sebenarnya tidak tahu siapakah gerangan yang akan  ditakdirkan untuk menjadi pemimpin kepada diri saya yang jahil ini, tapi andai awak  mukmin yang soleh yang ditakdirkan untuk saya, Alhamdulillah.. saya bersyukur sangat-sangat.=)

  Awak kadang-kadang saya terfikir bagaimanakah kehidupan  kita sekarang ini. Cara hidup awak dan cara hidup saya. Mungkin banyak perbezaannya. Adakah dijalan yang Allah redhai atau tidak.  Jujurnya saya bukanlah seorang yang sempurna dalam mengamalkan ajaran Islam yang syumul tapi saya masih dalam proses mencari identiti diri untuk menjadi hamba yang diredhaiNya. Masih banyak lagi perkara yang perlu saya belajar untuk menjadi wanita yang baik. Saya harap saya tak jumpa awak dalam tempoh yang terdekat ni sebab saya rasa sangat malu dengan diri sendiri yang serba kekurangan ini…Doakan saya jadi wanita yang solehah ye awak…
  
 

  Kata orang bercinta lepas kahwin lebih indah, tapi saya risau la awak saya takut kita tak sefahaman lepas kahwin nanti… atau yang lebih tepat masing-masing tak  boleh terima cara masing-masing… adoiyai .. macam mana nie.. huhu…tapi saya tak nak bercinta sebelum kawin takut nanti saya bosan dengan awak lepas kahwin pulak.huhu…so please lepas kahwin nanti berusahalah mengorat saya sampai jatuh hati kat awak k ..hehe....  tapi dalam al-Quran Allah telah berfirman yang bermaksud perempuan yang baik untuk lelaki yang baik.. InsyaAllah saya akan berusaha menjadi perempuan yang baik kerana saya ingin menjadi isteri kepada lelaki sebaik awak… =)

        Untuk pengetahuan awak yang saya sayang, saya seorang yang suka berkawan dan kebanyakan ‘kawan baik’ saya adalah lelaki tapi ‘kawan perempuan boleh kira dengan jari jer..huhu…  mungkin sebab sikap dan perangai saya yang kasar ni membuatkan saya lebih mudah untuk bercakap dan berkawan dengan lelaki berbanding perempuan. Mungkin sukar untuk awak terima atau tak boleh terima langsung…Tapi awak jangan risau sebab saya sedang belajar untuk menjadi perempuan yang lemah lembut dan bersopan santun walaupun tidak sesantun gadis Melayu terakhir…huhu…tapi sangat susah sebenarnya untuk melakukan perubahan sikap yang telah sebati sejak lahir…but I'll try my best... awak pula macam mana? Ramai kawan x? it’s ok kalau awak ada ramai atau tak ramai kawan… yang penting bila awak berkawan dengan seseorang, hormatilah haknya sebagai manusia dan belajar sesuatu daripadanya yang awak boleh jadikannya pengajaran dalam hidup awak kerana Allah tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia.. SubhanaAllah…

    Salah satu ciri-ciri wanita idaman kebanyakan lelaki di dunia ialah pandai memasak… erk.. alamak saya rasa macam nak pengsan je bila cakap bab ni…  awak, jujurnya buat masa ni saya tak berapa pandai dalam memasak makanan yang sedap-sedap mengikut selera awak... setakat masak-masak yang simple2 tu reti ler..huhu.. tapi kata nenek  ilmu masak-memasak boleh belajar. Jadi saya harap awak sanggup tunggu dan pastikan sampai saya pandai ‘masak’  baru kita kahwin sebab saya tak nak la bila tiba hari ibu nanti anak2 sambut ‘HARi Mamak’ bukan ‘Hari Mama’ sebab hari-hari mamak yang masak untuk dieorang...ish..ish.. Nauzubilllah.... Lagipun orang kata air tangan isteri pengikat kasih sayang dalam keluarga.
     
   Awak yang saya sayang, setakat ini semenjak lahir hingga sekarang , saya belum pernah kapel dengan sesiapa lagi sebab saya tunggu awak je jadi kapel saya. Mungkin awak akan  kata " ye la tu.." tapi itulah hakikatnya. Yang pernah mintak dulu pun saya reject sebab bagi saya tiada yang menghalalkan ‘hubungan’ antara lelaki dan perempuan selain akad nikah… tapi kalau setakat kawan tu no hal lah… tapi kalau awak dah  ada seseorang yang awak sangat sayang dalam hati awak sekarang ni it’s ok…jagalah hubungan awak dengan dia baik-baik… hormatilah dia sebagaimana awak hormati ibu awak kerana dia adalah bakal ibu kepada anak-anak yang soleh dan solehah… InsyaAllah…

    Awak yang dikasihi, untuk pengetahuan awak saya seorang yang degil dan saya harap awak seorang tegas dan sabar dalam mendidik saya nanti. Awak tak perlu susah hati memikirkan kedegilan saya kerana hati saya hanya akan lembut sekiranya awak bijak berkomunikasi dengan saya. Kalau boleh saya nak belajar faham awak dan terima awak seadanya dan saya harap awak pun begitu..,,,Awak yang saya sayang,  saya tak suka jadi ‘Queen control’ jadi saya tak nak kawin dengan ‘King Control’.  Pada saya, Marriage is not about control each other, but it is about how you manage your life with your partner and family.  
Lagi satu saya bukanlah seorang yang kuat cemburu ( jeles sikit je) dan saya harap awak pun begitu kerana sikap cemburu yang keterlaluan amat2 merimaskan saya dan tidak baik untuk kesihatan mental dan fizikal.... dan bagi saya ... keikhlasan awak menjadi kesetian saya, kesabaran awak menjadi kekuatan saya dan keredhaan Allah menjadikan kita bahagia.. insyaAllah…

      Awak yang saya sayang, belajarlah menjadi pemimpin rumah tangga yang bertanggungjawab serta berilmu agama . Sesungguhnya cara hidup Islam itu sangat sempurna dan akan mengindahkan cara hidup kita sekeluarga nanti. Saya harap sangat awak dapat menjadi iman dalam solat Jemaah dalam keluarga kita nanti. Mengajar anak-anak mengenal Maha Pencipta, mengucap kalimah syahadah, mengenal alif, ba, ta... rukun iman , rukun Islam dan para anbiya’…dan membimbing saya kejalan yang diredhaiNya..

   Awak yang saya sayang.. saya bukanlah secantik ‘puteri’ yang selalu awak nampak dalam mimpi awak tu..tapi saya bersyukur dikurniakan sifat yang sempurna secara fizikal dan biologinya sebagai seorang perempuan.. Pada pendapat saya tubuh badan adalah amanah dan pinjaman yang wajib dijaga dengan baik kerana akan dipersoalkan di akhirat kelak dan atas nikmat kesihatan tubuh badan ini lah kita dapat menyempurnakan ibadah dan kerja-kerja seharian..jadi saya harap awak menjaga amanah itu dengan baik terutama paru-paru awak yang sepasang tu… janganlah awak zalim dengan tubuh badan sendiri kerana kelak bukan sahaja akan menyusahkan diri sendiri tetapi juga anak2 serta doktor2 dan misi2 kat hospital tu…jadi pandai-pandailah awak jaga kesihatan diri sendiri sebab saya tak boleh tolong jaga kesihatan awak buat masa sekarang…=)

     Awak yang saya sayang..  Saya tidak kisah status pekerjaan awak, yang penting awak berusaha mencari rezeki yang halal dan mampu menampung keluarga…dan kalau boleh lepas kahwin saya nak bekerja untuk meringankan beban awak..bukan apa, kalau boleh saya tak nak jadi isteri yang selalu meminta-minta kepada suami…dengan kehendak yang pelbagai sebagai perempuan yang ada 9 nafsu + 1 akal.., saya pasti nanti awak pun boleh pening kepala melayan kerenah saya nanti.. so saya tak nak lah buat awak pening kepala sebab saya sayang sangat kat awak….   tapi kata ayah, paling kurang awak mesti ada ‘degree’… Namun pada saya, tak guna kalau seseorang itu ada deg, master or PhD tapi akhlak dan ilmu agamanya lebih rendah dari buku lali serta menyalahguna kebijaksanaan yang diberi Allah kejalan yang tidak baik kerana akal awak yang 9 itu mampu merosakkan bangsa dan negara……Sesungghnya orang yang membuat kerosakan dibumi Allah ini adalah orang-orang yang zalim…Nauzubillah…
  
  Awak yang saya sayang, walau dimana awak berada sekarang ni saya doakan semoga Allah permudahkan urusan dan lindungi awak sekeluarga. Kalau awak masih punya ibu dan ayah,  jagalah mereka sebaik-baiknya kerana itu kewajipan awak sebagai anak. Teruskan usaha dalam perkara baik yang awak lakukan. Kalau awak masih belajar, study smart.. Kalau awak dah kerja, amanah lah dalam pekerjaan awak.. Jaga solat dan  kesihatan awak baik-baik… sayang diri awak dulu sebelum awak sayang saya…dan cintailah Allah lebih dari segala-segalanya.. Bila sampai masa dan saat yang sesuai nanti semoga Allah pertemukan saya dengan awak dan semoga kita menjadi pasangan yang soleh dan solehah dunia akhirat InsyaAllah...


Salam Sayang,

From your future wife..


P/s: I love U...
GeRBeRa..
(10:34pm, 22 Oktober 2011)
  






Rabu, 24 Ogos 2011

Coretan Ramadhan

Assalamualaikum....

    Kepada Ramdhan yang  sedang aku lalui.... hari ini sudah 25 hari kita bersama.  Sepanjang bersama dengan Ramadhan kali ini, banyak perkara dan peristiwa yang telah aku lalui. Mungkin inilah hikmahnya kenapa Allah swt telah mentakdirkan aku menyambut ramadhan semasa cuti semester pengajian. Kalau tahun lepas aku menghabiskan  lebih separuh daripada bulan Ramdhan di kampus, tapi kali ini aku menyambutnya di rumah, kampung dan yang paling penting lain dari suasana di kampus.

   

    Cuti semester kali ini aku telah mengambil peluang bekerja sementara di sebuah restoran fast food di ibu negeri kelahiranku. Walau pun hanya sempat bekerja sebulan setengah sebelum Ramadhan, banyak pengalaman dan rakan baru yang aku dapat. Rutin pekerjaan  yang memerlukan kukuatan mental dan fizikal serta kesabaran yang tinggi penting untuk aku bertahan mencari rezeki yang halal. Meski pun bekerja dibawah 'Managers' yang muslim dan bukan muslim, Alhamdulillah masih ada ruang waktu untuk aku bersolat.

   Dan disini jugalah aku belajar mengenal erti hidup sebagai seorang Muslim dan belajar mengenal insan-insan yang bergelar 'MANUSIA'..  bermacam-macam jenis manusia yang aku jumpa sepanjang tempoh bekerja di situ. Yang paling penting aku rasa aku patut lebih bersyukur dengan apa yang Allah beri pada aku dari dulu hingga kini. Alhamdulillah..


   Apa yang akan aku ceritakan ini bukanlah bertujuan untuk memburukan seseorang atau membuka aib sesiapa, tetapi aku cuma hanya berkongsi pengajaran dari pengalaman aku yang tak seberapa ini.

    Kisah  yang ingin aku kongsi disini ialah mengenai seorang hamba Allah yang aku kenal sewaktu aku dalam perjalanan ke tempat kerja. Teguran pertama dariku disambut mesra dengan huluran tangan kanannya untuk bersalaman. Aku menjadi serba salah. Haram bagi seorang muslim bersalaman dengan bukan muhrim. Melihat aku teragak-agak menyambut salamnya, lantas dia memperkenalkan diri.

   " Nama aku Ina"  ujarnya sambil tersenyum.=)

Aku sambut salamnya dengan muka yang manis tapi dengan fikiran yang penuh 'kompius'. .=,="

  Kemudian aku memandangnya dari atas sampai kebawah dengan penuh 'cover' untuk mencari kepastian. Tubuh badannya agak kurus, berkaca mata, memakai 'sweater' merah kelabu yang besar, berseluar hitam, berkasut getah hitam, bertopi dan rambutnya yang pasti panjangnya kurang dari 0.8cm.  Tidak ada tanda-tanda yang meyakinkan aku yang dia adalah kaum hawa.

  Melihat dirinya yang agak ramah dan 'slumber', aku memberanikan diri untuk bertanya.


" Maaf yer, awak  ni perempuan ke lelaki?"

" Perempuan la" Balasnya.

" Ye ke? Saya tak percaya lah" Aku cuba menduganya.

" Ya Allah, budak ni, tak percaya pulak dia"  lantas dia mengeluarkan dompet dan menghulurkan IC nya kepadaku.

" Nah, tengok nie"

No Ic: 8........... -...-.........   Biar betul???
Nama :M....a binti........

Jantina: Perempuan...

Bangsa:   Melayu    ISlam...

' Perempuan??... aku membandingkan wajahnya didalam Ic dengan dirinya yang sedang berdiri di hadapanku bekali-kali. Wajah yang  sama, .. tapi gambar di dalam kad pengenalan itu juga tidak menggambarkan wajah seorang perempuan.

   " Ha,,, percaya tak aku ni perempuan?" Senyum, mungkin dia geli hati melihat wajah aku yang 'blur' ni.
   " Ok.. aku percaya" kad pengenalan itu kembali ke tangan tuannya.
 
  Kekeliruan dalam kepala otak aku sudah bertukar menjadi kepastian. Syukur... walau Kak Ina berpesonaliti seperti lelaki tetapi aku masih boleh mendekati dirinya kerana dia sekaum dengan aku.  Walau dilahirkan buta mata kanan dan tidak mengalami tumbesaran dan perkembangan seperti wanita normal yang lain, Kak Ina pasrah. Keadaan itu menyebabkan dia memilih untuk hidup berdasarkan faktor fizikalnya seperti seperti lelaki.

    Melihat keadaannya, aku bersyukur kerana Allah menciptakan aku sebaik-baiknya. Alhamdulillah...
SubhanaAllah... Pasti ada hikmah kenapa Allah mentakdirkan aku bertemu dengan insan sepertinya. Banyak perkara yang aku ingin tahu tentang gadis ini... bagaimana kehidupannya, kenapa dia boleh jadi seperti ini. Semenjak dari itu, aku dan Kak Ina berkawan baik.  Sering kali juga kak Ina bersunguh-sungguh mahu membelanja aku makan. Cuma sekali dua sahaja aku menerima pelawaannya. Katanya dia memamng suka belanja kawan-kawannya makan.. terima kasih Kak Ina =)



   Tiap kali kami rehat diwaktu yang sama banyak perkara yang kami bualkan. Kak Ina secara jujur menceritakan nasib hidupnya semenjak dia kecil hingga kini tanpa berselindung. Tatkala itu aku berasa betapa kurang bersyukurnya diri ini  jika dibandingkan nasib yang menimpa Kak Ina., menurutnya, akibat masalah pemikirannya yang agak lemah dia hanya sempat belajar beberapa tahun sahaja di sekolah rendah. Kemiskinan keluarga dan faktor jarak ke sekolah khas yang agak jauh dari tempatnya membuatkan kak Ina tidak berpeluang untuk maju dalam pelajaran.

     Meski bekerja sebagai ' cleaner ' di sebuah pasaraya, kak Ina tidak kisah asalkan dia dapat mencari wang bagi menampung dirinya dan ibu bapanya yang sudah tua. Tidak dapat aku bayang andai aku berada di tempatnya, tidak berpeluang menuntut ilmu, melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan dipandang hina oleh segelintir masyarakat yang angkuh dengan kesempurnaan diri mereka. SubhanaAllah... berat dugaannya...


    Tapi sayang, disebabkan dirinya yang buta huruf dan jahil dalam ilmu agama, Kak Ina mengaku yang dia sudah lama meninggalkan solat. Lidahnya juga sudah kekok untuk membaca surah dan mengucap. Perasaan malas dan persekitaran yang negatif membuatkan kak Ina sentiasa mengabaikan tanggunjawabnya kepada Tuhan.

      Apabila ditanya tentang masa depan dan kahwin, kak Ina bertegas yang dia belum puasa lagi dengan hidupnya yang sekarang meskipun usianya sudah 27 tahun.   Banyak lagi perkara yang ingin dia lakukan sebelum dia mengambil keputusan untuk berubah ke arah yang baik.  Pesanku padanya, ajal tidak memilih usia, niat yang baik lebik baik disegerakan dan dilakukan perlahan-lahan kerana manusia tidak mampu berubah secara drastik.


       Jauh disudut hatinya, kak Ina mahu menjadi wanita solehah meskipun dirinya punya kekurangan tersendiri. Aku cuba membantu walau ilmuku tidak lah setinggi gunung, namun teringat pesan nabi saw supaya menyampaikan ilmu walau sepotong ayat... Bila kami berpeluang bersua muka,  aku menceritakan pada Kak Ina tentang Islam, kewujudan dan kekuasaan Allah SWT yang selama ini mungkin dia tidak tahu atau terlepas pandang. Tanda-tanda kiamat dan apa sahaja ilmu yang bisa membawa kami mendekatkan diri kepada Tuhan.

   Namun permulaannya bukan mudah, banyak dugaan dalam usaha menyampaikan ilmu kepada orang yang jauh dari Tuhannya.  Aku tidak berputus asa, biar masa yang mentakdirkan kami bersama begitu singkat, aku berharap ada perubahan yang baik dalam dirinya. Perkara pertama yang aku ajarkan kepada kak Ina ialah mengucap dua kalimah syahadah... Sulit sekali lidahnya untuk menyudahkan kalimah itu, berkali-kali aku ulang dan menyuruhnya ikut bersama menyebut kalimah syahadah bersamaku... Mungkin sudah terlalu lama Kak Ina tidak mengucap, jadi agak sukar untuk dia melafazkannya kembali.


     Cara terakhir yang aku lakukan ialah dengan merakam ucapan syahadah ini berserta maksudnya di telefon bimbit Kak Ina supaya sekurang-kurangnya dia boleh belajar mengucap dengan baik apabila aku tidak dapat lagi bertemu dengannya.

   " Ni nanti yang kau rakam ni aku nak simpan buat kenangan. Nati bile kau dah berenti kerja , aku rindu kat kau , boleh aku dengar suara kau lagi kat 'handphone ni'. Selorohnya gembira.


" LailahaillaAllah, kak Ina saya rakam ni untuk akak belajar, bukan untuk simpan buat kenangan" Aku hanya mampu menggeleng kepala. Mungkin dia belum benar-benar bersedia untuk berubah fikirku.


      " Hehehe.. kau jangan marah, aku gurau jer, aku tau aku ni tak baik, aku tak semayang, tapi aku dah niat taun depan aku nak berubah..." Katanya penuh semangat.

   " Baguslah kalau Kak Ina dah ada niat baik macam tu, tapi kalau niat baik disegerakan lagi bagus sebab kita tak tahu ajal kita bila kan? Bila-bila masa sahaja Allah boleh ambil nyawa kita, mana kita tahu kan.. takut-takut tak sempat pulak nak jumpa tahun depan.. kan dah rugi..huhu.."

   " Eh kau jangan cakap macam tu, aku nak hidup lama lagi.. tapi kan apsal kau baik sangat dengan aku? "
  " Ouh.. kak ina tak suka lah saya baik dengan kak Ina? macam tu?" soalku kembali.

   " Bukan macam tu maksud aku ...."
   "  Kak Ina , saya teringin sangat nak masuk syurga, dan kalau boleh saya nak kak Ina masuk syurga dengan saya.. tak rugi kan..." =)... aku memandang wajah Kak Ina. Wajahnya berubah...


 " Tapi aku tak baik.." Riak wajahnya muram..

" Kak Ina, Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,  manusia dapat masuk syurga bukan kerana banyaknya pahala, tetapi kerana Rahmat Allah pada hambaNya. Allah tidak menilai pengakhiran hambanya, tetapi Allah menilai usaha hambanya yang berusaha kearahNya. kak Ina berdoalah moga Allah memberi hidayah kepada kita semua, mudah-mudahan kita dimatikan dalam iman dan Islam.. Insyaallah..=)"...
 
      
       Kini, sudah hampir sebulan aku berhenti kerja dan jarang sekali dapat bertemu dengan Kak Ina.. Aku berharap semoga Allah memberi hidayah kepada kami agar kami termasuk dalam golongan hamba-hamba yang dirahmatiNya.. InsyaAllah..


   






Selasa, 16 Ogos 2011

Ramadhan..

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

     Alhamdulillah tahun ini aku masih diberi kesempatan olehNya untuk merasai nikmatNya bulan Ramadhan yang penuh barakah ini.  Bulan yang dimana ditutup pintu neraka dan dibuka seluas-luasnya pintu syurga. Bulan yang dinanti oleh hamba-hamba yang ingin menunaikan kewajipan berpuasa kepadaNya .Bulan dimana  Nabi saw mengajar kita melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka. Bulan rahmat bagi penghuni kubur kerana terlepas dari azab seketika. Bulan rahmat bagi yang masih lagi bernafas. Bulan yang dijanjikankan pahalanya berganda. Bulan yang penuh ganjaran bagi yang hamba ikhlas mengerjakan ibadah keranaNya...

       Dan juga mungkin bulan terakhir bagi seseiapa yang dikehendakiNya. Kadang kala hati terasa pilu tatkala terfikir andai tidak lagi berkesempatan  menyambut Ramadhan akan datang. Maha Suci Allah, aku masih mahu lagi merasai nikmat bulan Ramadhan akan datang. Kau panjangkanlah umur aku dan saudara seagama denganku Ya Allah agar kami bisa meneruskan ibadah ini dan mensyukuri nikmatMu sepanjang hayat kami....amin ...



  


     

Jumaat, 29 Julai 2011

Sahabatku Sayang

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

    Saat jiwa terasa sunyi,
    Saat hati terasa  sepi,
    Dia takdirkan kita bertemu,
   Walau tidak pernah bersua muka,
   Hanya madah bicara,
   Tapi hati ini tahu,
   Kau ikhlas bersahabat denganku.

  Saat harapanku hampir hilang,
  Saat imanku hampir goyang,
  Kau tabahkan hatiku dengan ayatNya,
  Kau lembutkan sikapku dengan hadis Baginda,
  Pesanmu dugaan tanda kasih sayangNya padaku,
  Pesanmu pasti ada hikmah atas segalanya,
  Biar sabar menjadi pengantara,
  Antara ujian dan hikmahNya.

 Saat aku bercerita,
 Kau pendengar setia,
 Saat kau bercerita,
 Aku pendengar setia.

 Kau ajarkan aku erti insan,
 Kau ajarkan aku erti syukur,
 Kau ajarkan aku erti sabar,
 Kau buat aku tersenyum dalam duka,
 Kau buat aku tertawa dalam gembira.

 Aku bersyukur padaMu Ya Allah,
 Memberiku sahabat sepertinya,
 Yang sudi membawaku kejalanMu,
 Jalan yang Engkau redhai,

 Ya Rahman, 
 Ya Rahim,
 Peliharalah persahabatan ini,
 Daripada segala fitnah duniawi,
 Tambahkanlah kasih sayang diantara kami,
 Kerana aku,
Sangat menyayanginya keranaMu...


-Gerbera-
11:27am
29/7/2011
 




 

 

Selasa, 10 Mei 2011

Andai Segalanya Berlawanan

Andai segalanya berlawanan,
Siang menjadi gelap,
Malam menjadi cerah.

Andai segalanya berlawanan,
Cinta akan dibenci,
Kekasih akan dimusuhi.

Andai segalanya berlawanan,
Pemergian itu suatu pilihan,
Menunggu itu suatu kebahagiaan.

Andai segalanya berlawanan,
Sahabat itu adalah musuh,
Musuh itu adalah sahabat.

Andai segalanya berlawanan,
Si pemalas menjadi kaya,
Si kaya menjadi kedana.

Andai segalanya berlawanan,
Cemburu tidak lagi buta,
Rindu tidak lagi sayang.

Andai segalanya berlawanan,
Nafsu tidak  lagi terburu-terburu,
Sabar tidak lagi menjadi amalan.

Andai segalanya berlawanan,
Nafsu menjadi pahit,
Iman tidak lagi manis.

Andai segalanya berlawanan,
Dunia bukan lagi pujaan,
Akhirat menjadi pilihan.






Sabtu, 2 April 2011

di paGi Sabtu yang Indah

    Assalamualaikum dan selamat pagi semua.... *(^_^)*


  Alhamdulillah , pagi sabtu ni nampak indah sekali. Aku yang bangun lambat sebab semalam sibuk buat report yang tak siap-siap membuat keputan untuk ponteng kelas koko hari ini.Huhuhu.... mintak maaf Encik R........., minggu depan saya datang. Tapi itu bukanlah point yang sebenar sebab hari ini aku nak 'attend' kenduri khawin kawan aku.

    Kepada kawan aku itu selamat pengantin baru, semoga perkhawinan anda kekal hingga ke syurga. InsyaAllah.. amin....



     Lepas tu apa aku nak buat? aku ingat nak jalan-jalan lepas 'tension' sikit dan balik rumah sekejap. Lepas Asar balik U balik sebab aku nak tengok teater Lagenda TOk Kelembai kat panggung Percubaan.Apa yang menarik berdasarkan 'cerita dari senior'Tok Kelembai ni mengambil keputusan untuk mengasingkan diri dan menjadi batu kat atas gunung dan katanya lagi  kewujudan patung batu itu memang benar-benar wujud. Roomate aku berlakon tau , mesti la aku nak tengokkan.hehe,,.=) harap-harap apa yang aku rangcangkan hari ini dipermudahkan olehNya. InsyaAllah.

  Huhuhu... dah lama aku tak merepek dan merapu kat blog sendiri. Rindunyer nak bercerita kat dalam ini. Tapi apa boleh buat, banyak lagi perkara penting yang aku mesti dahulukan. Report itu dan ini, Assignment English, baca buku subjek U, baca nota lecturer dan lain-lain yang sewaktu dengannya.
   Sibuk memang sibuk, tapi kena redah la juga sebab biasa lah, adat jadi pelajar, macam ni lah gayanya. Apa yang penting aku mesti belajar betul-betul dan dapatkan ilmu yang aku betul-betul hendak tahu dan berguna padaku suatu hari nanti. Aku masih ingat, cikgu kat sekolah dulu selalu pesan,kita belajar kerana Allah SWT, bukan sebab peperiksaan. Jadi ikhlaskan hati dan jujurlah pada ilmu.

 Sampai di sini sahaja untuk pagi Sabtu yang indah ini, bila aku free Insyaallah aku akan bercerita lagi.


Ok, wasalam..

yang benar,

GerBera *(^_^)*
8:56am 2/4/11

Jumaat, 11 Mac 2011

Selamat Hari Lahir Awak...

   "Selamat hari lahir awak....  *^_^*..."
 
  Hari ini hari lahir awak yang ke 20 tahun. Bulan yang sama dengan saya iaitu Mac 1991. =)

Tiba-tiba, hari ini saya rasa rindu sangat kat awak. Terbayang-bayang senyuman awak, gelak tawa awak masa kita bersama dulu. Awak mesti senyum tiap kali nampak saya kat sekolah. Bila awak rasa bosan atau tension mesti awak datang cari saya untuk hiburkan hati. Saya ingat lagi kita tengok drama korea sama-sama kat sekolah. masa tu awak kate awak suka tengok cerita Winter Sonata dan MyGirl. Heronya hensem kata awak. Saya pun suka juga hero drama tu.hehe..

     Masa tu saya ada tanya awak kampung awak kat mana? awak kata kampung awak kat kedah. Awak siap bagi  petunjuk lagi macam mana nak sampai datang kampung awak. Kami yang dengar masa tu  harap sangat dapat datang kampung awak satu hari nanti. Awak balas " Datanglah.."    "Insyaallah kalau ada rezeki kita orang datang"...

      Awak dah lama kita tak jumpa kan? awk tak rindu pada saya ke?
Saya rindu sangat pada awak. Awak baik sangat dengan saya. Selalu support saya ,dengar story saya, ajar saya dalam kelas dan kadang-kadang kita makan sama-sama kat dewan makan.

   Saya ingat lagi satu hari tu bila saya tanya awk : "Nanti besar, awak nak jadi apa?"
Awak kata awak nak jadi " Surgeon" sebab awak nak bantu orang sakit. saya bangga dengar jawapan awak dan saya harap sangat suatu hari nanti awak dapat jadi apa yang awak mahukan. Saya siap pesan lagi kat awak, nanti kalau saya sakit, saya nak awak yang rawat saya. Awak senyum jer... =)

    Tiap hari bila masuk kelas, saya mesti pusing kepala tengok bahagian belakang kiri kelas sebab nak tengok awak datang kelas ke tidak. Saya duduk dekat dengan pintu belakang kanan kelas dan awak duduk dekat dengan tingkap belakang kiri kelas. Saya tengok awak asyik batuk-batuk saja. Tiap kali saya tanya awak, awak hanya kata " saya OK".  Puan Math kata Peperiksaan Percubaan SPM mula minggu depan dan pelajaran matematik diteruskan dengan bab berikutnya.

  Peperiksaan  percubaan SPM dalam dewan AnNur awak duduk di barisan tengah tepi kiri dewan bersebelahan dengan padang sekolah. Saya pula duduk barisan ke dua tapi belakang sikit dari awak rasanya. Sepanjang minggu 'trial' saya tengok batuk awak makin teruk dan bila saya tanya awak dah ambil ubat ke belum awak kata ubat awak lambat samapai sebab ubatnya dari luar negara.
 Kita orang semua harap moga awak dapat ubat dan sihat seperti selalu sebab dah tak sanggup tengok awak tanggung derita dengan batuk awak yang semakin teruk tu...

     Masa sebulan sebelum SPM, kita semua sibuk sangat buat persediaan sampai saya tak lagi luangkan masa bersama awak. Masa tu saya harap SPM cepat habis supaya dapat saya lepak dengan awak nanti.

   Dalam dewan AnNur,...
Saya nampak awak duduk seorang je kat belakang. Bukankah patutnya tempat awak kat tengah? huhu... Saya tengok awak asyik batuk-batuk sepanjang peperiksaan. Muka awak pun makin pucat.Kesian saya tengok awak. Bulan November berlalu dengan pantas.. Masuk bulan Disember dah pun. tak lama lagi SPM tamat. Kertas terakhir ialah Syariah Islamiah pada  hari Isnin.

     Lepas tamat peperiksaan semua pelajar sibuk mengemas barang-barang untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing. Saya ingat lagi, masa awak balik, mak awak datang tolong bawakan barang awak. Awak nampak sibuk semacam jer. Saya ingat nak borak dengan awak lama-lama, tanya khabar awak tapi awak kelihatan agak-agak tergesa-gesa hendak pulang rumah. Tapi tak apalah, mungkin cuti nanti boleh saya pergi ziarah awak.

  Beberapa hari habis SPM saya dan lagi sorang kawan ikut Wani balik Kedah sebab dah janji untuk sambut raya korban kat sana sambil makan angin di negeri orang. Perjalanan ke Alor Setar menaiki keretapi memang menyeronokkan walaupun memakan masa yang agak lama. Rumah kampung yang bersebelahan dengan sawah memang tenang dan aman. Jauh dari bunyi-bunyi yang menyakitkan hati dan telinga.

    Senario yang hijau lagi damai memang sesuai untuk menenangkan jiwa yang sering kacau. Rasa macam dah jatuh cinta dengan sawah padi seyiap kali mata memandang. Acap kali saya teringat keadaan awak, dan saya berharap awak cepat sembuh dan ceria seperti dulu. Tapi suatu petang khamis kawan saya mendapat mesej dari 'schoolmate' kita yang awak telah dimasukkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri lepas menunaikan solat Zuhur. Doa kami tidak putus semoga awak cepat sedar dan bertahan, Saya mohon pada Allah supaya awak segera sembuh,Saya tak sanggup kehilangan awak..

              Jumaat...
. Saya tak percaya apa yang telah saya dengar dari kawan saya kerana saya yakin awak masih mampu diselamatkan.

    Esoknya, atas jasa ayah wani , Pak Said  sudi membawa kami pergi ke kampung awak.Kata mak awak, awak telah dibawa pulang ke kampung halaman.Sepanjang perjalanan saya resah dan gelisah. Takut-takut tak sempat bertemu dengan awak. Sebaik sahaja masuk ke simpang kampung awak hati saya menangis       ' Awak, saya datang ni.. saya datang nak jumpa awak. Ingat tak awak pernah ajak saya datang kampung awak? Saya dah datang ni awak..tolong jangan tinggalkan saya.'


  Dari jauh saya lihat ramai orang berkumpul kat depan rumah tok awak. Saya mula tak sedap hati. Saya cuba mencari kelibat awak, tapi tak jumpa.

'Awak kat mana?'

Nasib jumpa mak awak. " Assalamualaikum mak cik. mana dia....?" tangan ibu awak saya kucup dan ibu awak berkata.:

" Terima kasih datang, tu...." tunjuk ibu awak ke satu tempat bersebelahan rumah tok awak. Tanpa membuang masa kami bertiga bergegas ke tempat yang ditunjukkan ibu awak tadi.

 Saya lihat ramai orang depan saya dan saya masih tidak nampak awak. Ayah awak yang perasan kehadiran kami mohon orang ramai memberi laluan untuk kami melihat awak buat kali terakhir.

  Dalam liang lahad itu saya lihat wajah awak begitu tenang bak bayi yang sedang nyenyak tidur. Tubuh awak sudah dibaluti dengan kain kafan berwarna putih.Saya tatap wajah awak puas-puas . Air mata  saya  mula menitis. ' Awak saya datang ni, bangunlah' .. tetapi awak masih kaku.Membisu. Tenang dalam tidur tanpa nafas itu.

        ' Awak.. saya datang ni..!'
        'Awak... saya datang ni.!..'

 Respon awak masih sama.Terus membisu dalam tidur.Kaku. Si penggali mula meletakkan tanah ke atas tubuh awak.  Semakin lama semakin banyak tanah yang diletakkan dan akhirnya awak hilang disebalik timbunan tanah itu.
 " Innalillahhiwainnailaihirajiun.."  Perlahan-lahan saya mula menrima hakikat yang awak sudah pergi buat tinggalkan  dunia ini.
   Saat itu hati saya berbisik 'Selamat jalan sahabatku , semoga engkau ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman'


  Kini, dah hampir 3 tahun awak pergi meninggal saya. Walaupun awak dah tak ada lagi kat dunia ni, awak selalu ada dalam ingatan dan hati saya kerana awak seorang 'sahabat' yang baik.

   Bulan Mac ni, sempena 'birthday' awak saya nak ucap sesuatu dan saya harap awak dengar apa yang saya nak kata ni walau dimana awak berada..


" Selamat hari lahir Sahabatku  H,...... " 



                                            
  p/s: Al Fatihah buat sahabat tersayang ....

Rabu, 5 Januari 2011

Di pagi yang indah

  Hari pertama masuk kelas,
  Subjek sains tanah asas,
 Kalau tak nak jadi paling last,
  Jangan jadi orang pemalas.

      Pada satu  pagi Isnin yang tenang lagi damai, aku bangun awal dari hari-hari cuti sem tahun  lepas. Maklumlah hari pertama kelas , azam tahun  baru la kononnya, bangun awal. Mandi shower pun dah rase macam mandi ais kat kutub utara. huhu... sejuk .. menggigil satu badan. ( tak pernah pun mandi ais kat kutub utara).hehe..Walau pun hati separuh rela nak mandi pagi ,tapi aku redah je. Tak kan nak pergi kelas tak mandi kot..Kang tak pasal-pasal jatuh market aku.. huhuh..

     Aku ingat nak naik bas kul 7 pagi sebab takut sesak kalau lambat dan aku pun malas nak menghimpit, dihimpit dan terhimpit oleh penumpang-penumpang yang berada di dalam bas tersebut. Walaupun bas banyak kat kolej ni, tapi ianya masih tidak mencakupi sebab student nya memang ramai sangat. Kan best kalo ade monorail ke, komuter ke, LRT ke kat dalam kawasan universiti ni, pasti tak kan ada lagi alasan  "bas lambat gerak  Dr."..lepas tu bila dah nak sampai fakulti je ada pengumuman  " Perhentian Fakulti Sains Komputer...., Perhentian seterusnya perhentian Fakulti Sains " . Kalau ada yang lambat gak sampai kelas memang patut kena ISO..hehe..

     Nie apa aku berangan lagi nie.adoiyai... selepas mengenakan baju kurung dan tudung,berhias apa yang patut , senyuman paling manis =) ku hadiahkan pada diri sendiri  tanda semangat memulakan hari baru. Jam tangan elok tergantung disebelah cermin ku capai.. Jarum pendek pukul 7.. Jarum panjang tunjuk nombor 6.. Erk.. alamak, lambat sudah.Cepat-cepat aku pakai kasut tertutup (ladies) dan turun bawah.

    Sampai -sampai kat bus stop bawah je, bas depan dah penuh. Aku tengok sampai ada cium pintu bas bila  bas tu tutup pintu. Pagi- pagi lagi  bas tu dah  dapat free kiss..hehe nasib baik la ada  bas kosong baru sampai,.. fuh... lega...

   20 minit kemudian....

Mana pula kelas....ni,,  (-____-) BSST.. ouh.. tingkat dua bilik hujung rupanya..  Tombol pintu ku pulas , mataku laju melihat bahagian hadapan kelas. Fuh... pensyarah tak sampai lagi rupanya.. selamat. Kalau lambat alasan 'common' nya tak jumpa kelas.. ceh... leh pakai lagi ke alasan tu? kalau sem 1 ok lagi la kot..

   Satu minit, dua minit dan minit-minit yang lain terus berlalu .  Akhirnya pensyarah pun masuk. Usai memperkenalkan diri dan memberi pengenalan terhadap subjek yang  akan dipelajari. Kuliah pertama bermula dengan lancar dan jelas. Alhamdulillah setakat ni, pensyarah yang mengajar kelas aku untuk sem ni semua baik-baik dan sporting belaka... memang Best.. i like... hahaha.. : D

    
   Walaupun belajar subjek sains tanah asas, bab pertama subjek ni memang agak menarik bagi aku sebab belajar tentang mineral. Macam mana mineral-mineral ni boleh terbentuk. Yang utama ialah dari lava gunung berapi. Memang sangat kaya dengan mineral dan nutrien yang baik untuk penanaman pokok.

       Masa amali (Rabu) kami belajar mengenal pasti mineral-mineral yang ada di bumi. Contoh yang ada dalam makmal seperti:
              
          Quartz, Hornblende, Granite,Albite,Olivine dan yang sewaktu dengannya.Dalam banyak-banyak mineral yang di 'display'kan , hanya diamond je yang tak ada.huhu... Agak-agak kalau ada diamond dalam makmal tu berapa lama la diomond tu boleh menetap kat situkan. Hehe..

   Apa pun aku memang lebih suka diamond dari emas.. Sebab diamond sangat keras dan mineral yang cantik..

  

     Sebelum keluar kelas pembantu makmal dah pesan. Tak boleh pakai selipar. Ish ..Dah la aku tak suka pakai kasut (ladies shoes) . Buat sakit kaki dan melecet je. Rasa nak buang je kasut tu..huhuh tengahari Isnin tu je aku sanggup balik bilik semata-mata nak tukar selipar..Ni la kali pertama dan terakhir aku pakai kasut tu ke kelas. Akak-akak ni kata  kalau beli kasut baru kena gigit sikit belakang kasut tu supaya kasut tu tak gigit kaki kita..tapi aku macam tak yakin je dengan petua tu ... Bukanya apa ..sebab aku memang tak sanggup nak gigit mana-mana kasut walaupun tu kasut baru.. hahaha..  =P